Raub dan kereta yang rosak
Tugasan yang digalas memerlukan saya untuk berangkat ke Kota Bharu. Kota Bharu bagi saya adalah satu bandar yang cukup istimewa. Pengalaman menjalani kehidupan di bandar ini menyebabkan saya selalu merasa ingin menziarahinya. Namun apakan daya kesempatan jarang terluang untuk berziarah ke sana.
Memandangkan keperluan tugasan yang agak banyak, saya memutuskan untuk memandu kereta ke sana. Pagi Sabtu itu saya berkemas untuk bertolak ke Kota Bharu. Setelah siap berkemas saya pun bergerak dengan kereta Proton Iswara saya yang sudah agak berumur tapi masih setia berkhidmat. Ada beberapa orang yang agak ‘concern’ bila mengetahui saya akan memandu kereta Iswara ini. Kereta Iswara saya ini telah lama tidak saya gunakan disebabkan saya berada di Melbourne. Sekembalinya saya dari Melbourne, saya mendapati beberapa kerosakan telah berlaku kepada kereta saya, dari bateri, penghawa dingin hinggalah kebocoran minyak pelincir.
Perjalanan pada hari tersebut berjalan lancar. Dari Bangi saya bergerak ke Kuala Lumpur seterusnya menyusuri lebuhraya Karak hinggalah ke bandar Bentong. Kereta terasa bergoyang ketika melalui bandar Bentong sehingga saya terpaksa berhenti seketika. Saya sangkakan ada tayar yang bocor tetapi apabila diperiksa semuanya berkeadaan baik. Saya pun memutuskan untuk meneruskan perjalanan. Apabila menghampiri bandar Raub sekali lagi terasa kereta bergoyang sehingga menyukarkan saya untuk mengawal kereta saya. Perlahan-lahan saya mencari bengkel kereta. Akhirnya, terjumpalah satu bengkel yang agak besar. Kereta saya pun diperiksa salah seorang mekanik yang ada di sana. Didapati ‘drive-shaft’ kereta saya telah rosak. Sebenarnya saya sendiri telah menjangkakan hal yang sama. Cuma yang tak saya jangka ialah kos ‘repair’ yang disebut. Kos untuk sebelah ‘drive-shaft’ adalah RM600, disebabkan saya perlu kedua-dua belah maknanya kos keseluruhan ialah RM1200. Itupun saya tak pasti termasuk upah atau tidak.
Saya tidak dapat menerima kos yang begitu tinggi kerana mengikut pengalaman saya kos drive shaft tidaklah semahal itu. Saya pun bertanya kepada mekanik yang terbabit sama ada beliau mengenali mana-mana mekanik di luar sana yang boleh membantu saya. Dengan senyap-senyap beliaupun menghubungi seseorang dengan handphone. Beliau meminta seseorang untuk menolong membaiki kereta saya. Selepas itu beliau meminta saya menunggu seseorang dan mengikut individu tersebut yang akan membaiki kereta saya. Saya mengucapkan terima kasih atas pertolongan beliau. Beliau menjawab beliau sekadar menolong sesama Islam.
Untuk mengelakkan dicurigai oleh pemilik bengkel, individu tersebut berhenti di luar kawasan bengkel. Mekanik tadi meminta saya mengikut sebuah kereta yang sedang berhenti di luar bengkel. Walaupun drive-shaft kereta saya rosak ia masih boleh dipandu dengan perlahan. Saya pun mengikut kereta tersebut hinggalah ke sebuah kampung iaitu di Kampung Sempalit.
Individu tersebut telah membawa saya ke sebuah rumah kampung yang saya lihat tiada ruang atau bengkel untuk membuat kerja-kerja membaiki kereta. Individu tersebut meperkenalkan diri sebagai Khalid dan bertanyakan apa masalah kereta saya. Saya bertanya beliau di mana tempat beliau membaiki kereta. Beliau mengatakan beliau tidak mempunyai garaj atau bengkel. Kereta dibaiki di halaman rumah sahaja. Rumah tersebut adalah rumah ibu bapa beliau. Khalid yang masih belum berkahwin tinggal bersama ibubapanya dan juga beberapa adik-beradiknya yang lain.
Khalid mengatakan harga ‘drive-shaft’ dalam lingkungan RM140 sebatang. Saya memberikan beliau RM300 ringgit untuk membeli ‘drive-shaft’ di kedai alat-alat ganti. Sewaktu beliau keluar membeli ‘drive-shaft’ saya pula meminta izin untuk menunaikan solat di rumahnya. Ibu bapa Khalid mempersilakan saya untuk solat di sebuah bilik. Selepas itu ayah Khalid pun keluar kerana ada urusan. Segan juga rasanya kerana sudahlah tidak mengenali mereka tetapi masuk ke rumah hingga ke ruang dapur untuk mengambil wudhu’ dan menggunakan bilik salah seorang anak mereka.
Solat adalah penghubung antara makhluq dan Khaliq. Walau apapun yang dihadapi, sekali-kali solat tidak boleh ditinggalkan. Bagaimana mungkin kita mahu meminta tolong dengan Allah kalau kita sendiri enggan berhubung ‘direct’ dengan Allah. Solat itu seumpama ‘direct help-line’ kita dengan Allah. Dari sudut mana pun kita lihat, yang pasti dengan solat yang untung itu kita.
Setelah selesai solat saya pun keluar dari bilik dan tak lama selepas itu Khalid pun pulang dengan membawa ‘drive-shaft’ yang baru. Kos ‘drive-shaft’ hanya RM130 sebatang. Beliau memulangkan baki wang yang saya berikan tadi. Ketika kerja repair berjalan ibu Khalid pun keluar dengan kuih-kuih raya dan air minuman. Saya mengatakan pada ibu Khalid, ‘ini dah jadi beraya pulak ni’. Sempat jugalah saya bersembang panjang lebar dengan Khalid dan ibunya tentang pelbagai perkara terutama tentang kehidupan keluarga mereka. Daripada perbualan itu saya mendapat maklumat tentang keluarga mereka dan kehidupan mereka di rumah yang dikelilingi kebun getah. Pada masa yang sama saya berdoa agar tidak hujan ketika itu kerana kereta dibaiki di halaman yang tidak berbumbung. Pada jam 5 petang barulah semua kerja selesai. Saya lebihkan sedikit upah Khalid bagi menghargai pertolongannya. Mulanya beliau menolak, tapi saya memberitahu beliau, kos upah ini terlalu sedikit berbanding kos yang disebut di bengkel tadi. Kemudian, mekanik yang menghubungi Khalid untuk membantu saya pun sampai dari tempat kerjanya. Khalid mengatakan pada mekanik itu bahawa kos yang disebut di bengkel itu terlalu mahal. Mekanik itu cuma menjawab, ‘tau takpe’. Pesan ayah Khalid pada saya beritahulah tentang Khalid kalau ada kawan-kawan nak repair kereta di kawasan Raub. Saya hanya menjawab InsyaAllah pada pesanannya itu.
Sewaktu saya mahu meninggalkan halaman rumah itu, ayah, ibu, adik, mekanik itu dan Khalid sendiri ada di luar rumah. Mereka melambaikan tangan ketika kereta mula bergerak keluar . Terasa seperti meninggalkan rumah saudara sendiri. Datang sebagai orang asing, pulang sebagai saudara.
Saya bergerak meninggalkan Raub pada lebih kurang jam 5 petang dan sampai di Kota Bharu hampir jam 11 malam.
Terfikir-fikir peristiwa yang baru berlaku. Teringat dalam Al-Qur’an menyebut, ‘Sesungguhnya beriringan dengan kesusahan itu kesenangan’. Betapa benarnya ayat itu.
Sesungguhnya saya tidak mengenali sesiapa di Raub, dan rasanya mungkin tiada orang Raub yang kenal dengan saya. Secara logiknya orang-orang yang tidak mengenali sesiapa mungkin akan lebih menghadapi masalah dan lebih mudah menjadi mangsa. Menjadi kelaziman dunia, apabila tidak kenal maka tidak cinta, apabila tidak kenal maka tidaklah peduli. Apa yang perlu kita sedar ialah, biarlah orang semua tidak kenal kita, yang penting Allah kenal kita dan Allah peduli dengan kita.
Di dalam Al-Qur’an disebutkan, ‘…barangsiapa bertaqwa kepada Allah, maka Dia memberi jalan keluar, dan memberikan rezeki yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah maka Dialah yang mencukupkannya’. (At-Thalaq: sebahagian ayat 2&3).
Tidak ada jalan keluar yang lebih baik dari jalan keluar yang Allah sediakan, dan tidak ada rezeki yang lebih baik dari rezeki yang Allah tentukan.
Wallahua’lam…
Kota Bharu, Kelantan
Keterlibatan Pertubuhan Islam dalam Aktiviti Perniagaan: Satu komentar (1)
Apabila satu pertubuhan Islam yang menjalankan aktiviti dakwah menceburkan diri dalam aktiviti perniagaan, antara persoalan yang sering timbul adalah bagaimana untuk menselari dan mengimbangkan antara aktiviti dakwah yang berteraskan pengorbanan dan kesukarelaan dengan aktiviti niaga yang berteraskan keuntungan.
Sifat seorang pendakwah adalah ‘memberi’ manakala sifat peniaga adalah ‘mengambil’. Apa yang dimaksudkan di sini adalah dalam aktiviti dakwah lazimnya keutamaan itu adalah pemberian melebihi perolehan. Usaha dakwah dijalankan dengan pengorbanan tenaga, masa dan harta. Pengorbanan pula bermakna ‘yang diberi’ lebih dari ‘yang diperolehi’.
Sebaliknya sifat berniaga pada zahirnya adalah berlawanan dengan sifat dakwah kerana peniaga adalah golongan yang mengharapkan imbalan yang lebih dari modal yang dikeluarkan. Imbalan yang lebih itulah yang dinamakan keuntungan. Keuntungan dalam perniagaan tidak dapat tidak akan disandarkan kepadan nilaian matawang sedangkan keuntungan dalam dakwah adalah berteraskan neraca yang sangat berbeza. Oleh yang demikian, amatlah perlu kita memahami perbezaan asas antara aktiviti perniagaan dan aktiviti dakwah.
Barangkali ada ramai yang melihat kedua-duanya tidak bertentangan lantaran banyak contoh yang menunjukkan kedua-duanya dapat dilaksanakan secara selari dan baik oleh peniaga-peniaga yang juga menjadi pendakwah. Namun begitu kita perlu memahami bahawa kepentingan dakwah dan kepentingan niaga dapat diselarikan disebabkan mereka yang terlibat adalah mereka yang memahami dengan jelas ciri-ciri niaga dan ciri-ciri dakwah. Pada masa yang sama kebiasaannya para pendakwah yang melibatkan diri dalam perniagaan adalah menjalankan usaha niaga secara persendirian dengan memegang sepenuh kawalan terhadap perniagaannya.
Sebaliknya apabila suatu aktiviti niaga itu dipelopori oleh sebuah pertubuhan , situasinya amat berbeza. Sifat sesebuah pertubuhan yang anggotanya terdiri dari berbagai latarbelakang menjadikannya bersifat kompleks. Keadaan menjadi lebih rumit apabila kaedah membuat keputusan yang dilaksanakan dalam pertubuhan itu cuba diaplikasikan dalam usahaniaga yang dijalankan.
Apabila sesebuah pertubuhan terlibat dalam usaha niaga ia perlu dijalankan dengan sistem korporat yang teratur kerana perniagaan tersebut dijalankan oleh ramai individu dan membawa kepentingan ramai. Kegagalan meletakkan asas pengurusan yang baik diperingkat awal akan menyebabkan permasalahan yang menyebabkan kerugian yang besar di pada masa hadapan.
Satu kesilapan yang sering dilakukan adalah pengabaian kepada sistem pengurusan yang sempurna mengakibatkan kecelaruan dalam pentadbiran perniagaan. Ini mungkin disebabkan kecenderungan para penggerak dalam pertubuhan dakwah untuk mendasari muamalah mereka dengan rasa saling percaya mempercayai. Ketelitian sebagaimana yang diamalkan oleh syarikat-syarikat korporat biasa mungkin dilihat menggambarkan sifat kurang percaya kepada sesama anggota pertubuhan tersebut.
Kegagalan beberapa buah koperasi dan syarikat yang didokong oleh gerakan Islam sewajarnya menjadi pengajaran berguna apabila sesebuah pertubuhan Islam mahu menceburi dunia perniagaan. Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu ada sebuah pertubuhan yang menceburi bidang perniagaan burung unta yang akhirnya kerugian berjuta ringgit. Pada satu kes yang lain, sebuah pertubuhan Islam yang menjalankan aktiviti niaga dengan menjual kelengkapan runcit juga mengalami kerugian yang besar . Amat menyedihkan kerana sumber modal yang dilaburkan adalah sumbangan anggota yang ikhlas membantu, tetapi kerana kesilapan pengurusan ia hilang begitu sahaja. Tambah menyedihkan kegagalan-kegagalan tersebut menjadi ‘peluru’ kepada pihak yang kurang senang dengan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk memperlekehkan Islam.
Kegagalan sesebuah perniagaan itu boleh datang dari pelbagai punca. Punca-punca tersebut boleh bersifat dalaman dan luaran. Punca-punca itu juga boleh bersifat kemanusiaan ataupun kebendaan.Punca dalaman yang utama adalah manusia itu sendiri. Manusia datang dengan sikap dan personaliti yang berbeza. Sikap dan personaliti itu pula dibentuk oleh ilmu dan pengalamannya. Punca luaran pula datang dalam bentuk persaingan, pasaran dan keseluruhan persekitaran luaran yang lain.
Di sini saya ingin mengajukan beberapa masalah yang berkaitan dengan pengurusan dan pekerja. Dari aspek pengurusan kegagalan niaga boleh berlaku apabila berlaku kegagalan dari aspek ilmu atau kemahiran, perancangan dan sikap. Manakala dari sudut pekerja pula isu-isu yang terlibat mungkin dari sudut ilmu atau kemahiran, sikap dan tekanan. Tekanan itu pula boleh jadi merupakan tekanan kerja mahupun tekanan kewangan.
Ilmu
Ilmu adalah teras kepada kejayaan sesuatu usaha. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu yang berkaitan dengan menjalankan perniagaan. Kegagalan meletakkan orang yang memahami sesuatu isu dari konteks perniagaan akan mendedahkan perniagaan dengan risiko kegagalan. Kajian-kajian saintifik telah membuktikan kejayaan syarikat-syarikat utama di dunia adalah hasil meletakkan orang-orang yang berilmu dalam perniagaan.
Sebagai contoh, Microsoft yang merupakan syarikat perisian terbesar dunia walaupun diasaskan oleh ‘drop-out’ Harvard iaitu Bill Gates hanya memilih mereka yang mendapat ijazah ‘1st class’ untuk menjadi kakitangannya. Setelah menyertai Microsoft mereka akan diberikan latihan yang berkaitan dengan tugas yang digalas. Mereka yang terlibat dalam pengurusan akan diberi latihan atau ilmu dalam pengurusan. Keseriusan Microsoft dalam mendapatkan mereka yang benar-benar berkebolehan telah meletakkan Microsoft sebagai kuasa ekonomi dunia sehingga hampir tidak ada siapa yang tidak disentuh hidupnya oleh syarikat ini.
Pertubuhan Islam lazimnya digerakkan oleh mereka didorong oleh suatu idealisme tertentu yang boleh mendatangkan masalah dalam perniagaan. Masalah-masalah timbul apabila individu-individu yang didorong oleh idealisme tidak dapat mengubahsuai pendekatannya berdasarkan realiti perniagaan yang dihadapi. Mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sesebuah pertubuhan tidak semestinya sesuai atau layak untuk mengetuai atau mengendalikan suatu usaha niaga. Ini kerana kemahiran dan ilmu yang diperlukan dalam perniagaan tidak sama dengan ilmu yang diperlukan dalam sesebuah pertubuhan atau gerakan.
Ini tidak bermakna untuk berjaya idealisme dakwah perlu dikorbankan. Apa yang dikehendaki ialah kebolehan untuk mengimbang antara idealisme dan teori dengan realiti di lapangan. Persoalan yang menuntut penegasan seperti dasar dan wawasan perlu dipandu oleh idealisme yang berteraskan asas perjuangan pertubuhan dakwah tersebut. Persoalan yang seperti halal,haram, riba’, gharar, syubhah, rasuah dan lain-lain perlu diputuskan sesuai dengan aspirasi gerakan tersebut walaupun realitinya akan menyukarkan usahaniaga pertubuhan dakwah.
Permasalahan lebih besar timbul apabila keputusan niaga dikaitkan dengan wala’ dan ketaatan kepada pimpinan. Adakalanya perbezaan dengan pandangan pimpinan dianggap sebagai ketidakpatuhan kepada pertubuhan. Sedangkan pada masa yang sama ada pimpinan yang terlibat dalam usaha niaga tersebut mempunyai kefahaman yang cetek tentang realiti perniagaan. Akibatnya, pekerja yang mempunyai latarbelakang profesional mungkin merasakan pengetahuan dan pengalamannya diperlekehkan. Sebab itulah sebahagian syarikat korporat yang ingin mengaplikasi nilai Islam pada masa ini menubuhkan suatu jawatankuasa lain yang bertindak sebagai penasihat dan pemantau tanpa mencampuri urusan operasi atau eksekutif perniagaan.
Secara umum syarikat-syarikat tersebut mempunyai sekurang-kurangnya tiga jawatankuasa yang mempunyai bidang kuasa yang jelas dan tidak bertindih iaitu lembaga pengarah, majlis penasihat syariah dan jawatankuasa pengurusan. Apa perlu ditekankan di sini bukan bilangan jawatankuasa yang penting tetapi sistem yang teratur serta autoriti dan autonomi yang jelas. Model yang boleh diambil oleh gerakan dakwah yang menceburi bidang perniagaan adalah seperti yang diamalkan oleh syarikat-syarikat kewangan Islam yang mempunyai majlis penasihat syariah masing-masing.
Pertindihan kuasa dan kekurangan ilmu perniagaan seperti dalam aspek pengurusan strategik, pengurusan sumber manusia, kewangan dan pemasaran boleh menyebabkan keputusan-keputusan yang dibuat tidak tepat dan mendedahkan perniagaan kepada bahaya. Menjadi suatu ‘irony’ jika keputusan yang diambil boleh mengancam perniagaan sedangkan ia berlawanan dengan ‘maqasid syariah’ yang diperjuangkan oleh pertubuhan Islam itu sendiri.
Perancangan
Aspek perancangan pula lebih merujuk kepada aspek pengurusan strategik. Ia sangat penting untuk memastikan kejayaan sesuatu perniagaan terutama apabila melibatkan perniagaan yang bersaiz sederhana atau besar. Namun begitu, ada yang hanya pandai menyebut pengurusan strategik tanpa memahami maksudnya yang sebenar.
Pengurusan strategik yang merangkumi perancangan, model niaga, aspek taktikal niaga dan sebagainya perlu dipelajari secara berdisiplin terutama oleh mereka yang memegang mas’uliah dalam perniagaan walaupun pada hakikatnya ia perlu dipelajari oleh semua penggerak dakwah. Kekurangan dalam aspek ini akan menyebabkan kecenderungan untuk membuat keputusan berdasarkan andaian dan persepsi yang mungkin bersifat ‘bias’ dan boleh memudharatkan perniagaan.
Ilmu dan perancangan mempunyai kaitan yang sangat rapat. Kekurangan ilmu boleh mengakibatkan kesilapan dalam perancangan. Mereka yang tidak memahami perbezaan jenis-jenis perniagaan mungkin akan melakukan strategi yang sama bagi perniagaan yang berbeza. Sebagai contoh perniagaan perkhidmatan mungkin dijalankan sama dengan perniagaan barang. Akibatnya perniagaan hotel menggunakan strategi yang sesuai untuk menjual burger. Strategi niaga burger yang tidak perlu kepada keselesaan pelanggan digunapakai dalam perniagaan hotel yang akhirnya boleh memusnahkan perniagaan.
Semoga semua usaha yang sedang dilaksanakan oleh semua gerakan dakwah akan mendapat bantuan dari Allah.
Belajar Dakwah Di Kedai Makan 3
Petang itu terasa nyaman sekali. Hembusan bayu menyapa lembut tubuh yang kehangatan. Arif yang kepenatan dengan kerja-kerja di kebun bersandar berehat di beranda rumah. Fikiran Arif kembali pada kata-kata ayahnya tentang belajar dakwah di kedai makan. Semenjak perbualan tempohari, ayahnya tidak lagi bercerita tentang hal itu. Kesihatan ayahnya agak kurang baik akhir-akhir ini. Sudah hampir sebulan ayahnya tidak sihat. ‘Tak mengapalah, nanti pandai-pandailah kamu cuba faham tentang dakwah dan kedai makan’, Arif bercakap kepada dirinya sendiri di dalam hati.
‘Abah minta maaf sebab tak dapat nak bercerita lagi dengan Arif selepas kita keluar dahulu’, ayah berkata kepada Arif. ‘Takpelah abah, abah pun sakit, nanti Arif akan fikirkan lagi semua yang abah sampaikan tempohari’, Arif membalas kata-kata ayahnya.
Bas bergerak meninggalkan hentian. Semakin lama semakin hilang kampung halaman dari pandangan. Sayu perasaan Arif meninggalkan ayah yang sakit. Namun, Arif tahu dia perlu kembali ke kampus bagi menyambung perjuangan mempersiapkan diri dan menuntut ilmu.
*****
‘Ala, pagi ni kuliah Marketing la, Encik Fikri ngajar mesti suka khutbah’, komen Sabri teman rapat Arif di kampus. Arif memang tahu benar gaya kuliah encik Fikri yang suka menyelitkan pesanan-pesanan selain mengajar apa yang ada di dalam silibus. Arif berpandangan bagus juga ada pesanan dan selingan dalam kuliah, paling tidak ia mengurangkan rasa jemu.
Namun kuliah hari itu menyentak jiwa Arif. ‘Mereka yang terlibat dalam dakwah perlu menguasai ilmu Marketing kerana mereka yang berdakwah pada hakikatnya sedang ‘marketing’ Islam. Saya tahu ada di antara kamu yang terlibat dengan aktiviti dakwah, sepatutnya kamu dapat mengaitkan antara marketing dan dakwah’. Malang kalau kamu tidak dapat mengaitkan Marketing atau ilmu-ilmu pengurusan lain dengan dakwah’.Tergiang-ngiang kata-kata encik Fikri di kuliah tadi.
Malam itu sukar untuk Arif melelapkan mata. Kata-kata encik Fikri silih berganti dengan kata-kata ayahnya. Belajar dakwah di kedai makan, Marketing dan dakwah bermain-main difikiran. Namun, lama-kelamaan Arif tertidur juga.
Pagi itu Arif bercadang untuk berjumpa encik Fikri. ‘Hari ni aku nak jumpa encik Fikri, nak join?’ Tanya Arif kepada Sabri. ‘Tengokla nanti, nak jumpa sebab apa?’ balas Sabri. ‘Kemarin bila dia cakap pasal Marketing dan dakwah tu, aku terasa macam dia tuju kat aku’. ‘Engkau tak terasa ke?’ Tanya Arif kepada Sabri. ‘Terasa juga, tapi encik Fikri memang suka cakap macam tu’, jawab Sabri. ‘Takpe, nanti kita jumpa dia tanya’, sambung Sabri lagi.
Hari itu ada empat kuliah yang perlu dihadiri Arif. Sebagai pelajar bidang Muamalat Arif dikehendaki mengambil subjek-subjek yang pelbagai. Ada subjek-subjek pengkhususan fiqh dan Usul dan ada juga subjek-subjek pengurusan dan kewangan kontemporari. Setelah selesai semua kuliah tersebut barulah Arif dapat berjumpa dengan encik Fikri. Arif berharap moga-moga encik Fikri tidak kemana-mana, maklumlah para pensyarah selalu sibuk dengan kuliah dan tugasan-tugasan lain.
‘Assalamualaikum’, ucap Arif sambil tangannya mengetuk pintu bilik encik Fikri yang tertutup. ‘Waalaikumussalam, masuk’, terdengar jawapan dari dalam bilik. Arif dan Sabri masuk dan dipelawa duduk oleh encik Fikri. ‘Arif, Sabri, apa yang saya boleh bantu?’ Tanya encik Fikri.
‘Err, kami nak tanya tentang kaitan antara dakwah dan Marketing seperti yang encik sebut kemarin’, Arif menjawab. ‘Ohh, yang itu’, balas encik Fikri. ‘Sebenarnya bukan Marketing sahaja, bahkan subjek-subjek lain pun boleh dikaitkan dengan dakwah seperti Organizational Behaviour dan Strategic Management’, terang encik Fikri lagi. ‘Yang penting kebolehan dan kesediaan kita untuk berfikir, bukan sekadar hadir kuliah untuk menghafal fakta yang akhirnya menjadikan kita setaraf dengan hard disk dalam laptop’, sambung encik Fikri.
‘Saya datang jumpa encik ni bukan sahaja sebab kuliah encik, tapi juga sebab ayah saya ada sebut tentang kita boleh belajar dakwah di kedai makan, maksudnya denga memperhatikan kedai makan atau restoran contohnya KFC dan lain-lain’, Arif berkata. ‘Ohh, begitu, kamu Sabri macamana pula?’ balas encik Fikri. ‘Saya ikut Arif je, tapi saya juga nak tahu apa kaitan subjek-subjek kita dengan dakwah’, jawab Sabri.
‘Belajar dakwah di restoran KFC, menarik tu. Kita boleh jadikan restoran KFC sebagai perumpamaan kita. Cuma sebelum tu saya nak kamu faham bahawa bidang dakwah ni luas, sebab itulah ada ijazah Dakwah di fakulti kita ni, apa yang kita bincangkan hanyalah pecahan kecil dari ilmu-ilmu dakwah’, jelas encik Fikri.
‘Saya nak tahu setakat ini apa rujukan-rujukan kamu?’ Tanya encik Fikri. ‘Buku-buku dakwah seperti karangan Hasan Al Banna, Mustafa Masyhur, Said Hawwa, Fathi Yakan, Abbas As Sissi dan lain-lain lagi’, jawab Arif. Sabri mengangguk-angguk di sebelah. ‘Bagus tu, semua bacaan-bacaan itu akan mengukuhkan idealisme kamu tentang fikrah dakwah. Apa yang saya sebut dalam kuliah lebih kepada pengaplikasian idealisme itu dalam realiti manusia yang bersifat dinamik atau berubah-ubah’, jelas encik Fikri. ‘Err, maaf encik, saya rasa bahasa encik agak tinggi, lambat sikit saya nak faham’, komen Sabri. ‘Oh ye ke, maaflah, agaknya terbiasa dengan kuliah akademik, cakap pun dah jadi terlebih akademik, saya akan cuba terangkan secara lebih mudah, kalau agak terlalu akademik tegur saya’, jawab encik Fikri.
‘Sesetengah istilah yang digunakan dalam subjek-subjek pengurusan kita boleh guna juga dalam perbincangan dakwah, contohnya perkataan waqi’ membawa erti yang hampir sama dengan faktor-faktor persekitaran atau environment. Begitu juga dengan perkataan mad’u, dalam konteks Marketing kita sebut sebagai target market atau prospective customer. Jadi cuba perhatikan istilah-istilah dan konsep-konsep yang boleh dibandingkan’, sambung encik Fikri. ‘Ok, sekarang mari kita bincang tentang dakwah dan KFC’, encik Fikri berkata sambil tersenyum…
(bersambung)
Belajar Dakwah Di Kedai Makan (2)
Hakikat Jualan
Arif merasa tidak sabar untuk mengetahui apa yang mahu disampaikan oleh ayahnya. ‘Abah boleh tak cerita sikit sekarang? sebab kalau dah balik kefahaman Arif mungkin dah kurang’, Arif memujuk agar ayahnya bercerita. Ayahnya kelihatan begitu menikmati sup ekor yang dihidangkan. Arif semakin gelisah dengan sikap ayahnya yang acuh tak acuh dengan permintaannya. Setelah beberapa detik ayahnya memandang tepat ke mata Arif.
‘Baiklah, abah akan cerita sikit’, akhirnya ayahnya bersuara. ‘Ok,Arif tahu tak kedai ni jual apa?’ Tanya ayahnya. ‘Jual sup lembu’, jawab Arif tawar, kurang senang kerana ditanya seperti budak kecil. ‘Itu sahaja?’ Tanya ayahnya lagi. ‘Jual sup ekor, sup tulang, sup perut, sup daging, sup lidah, air buah, nasi dan semua yang ada kat senarai menu itulah’, jawab Arif penasaran. Ayahnya memahami kegelisahan Arif tetapi dia mahu biar Arif benar-benar memahami apa yang dia ingin sampaikan. ‘Apa beza kedai ni dengan kedai lain?’ Tanya ayahnya. ‘Hmm, kedai ni tak macam kedai lain, sebab dia jual nasi dengan sup je’, jawab Arif. ‘Kalau Arif nak buka kedai makan, berani tak buka kedai macam ni, jual sup sahaja?’ tanya ayahnya lagi. ‘Rasanya tak kot, sebab risiko kalau orang nak makan mee goreng ke, tomyam ke mesti tak datang sebab takde pilihan lain’, jawab Arif. ‘ Tapi yang peliknya kedai ni ramai je orang datang, mungkin sebab sedap kot, atau diorang teringin sangat makan sup, atau sebab diajak kawan yang teringin makan sup kat sini’, komen Arif sambil tersenyum. Ayahnya tersenyum mendengar komen Arif, terasa agak lucu.
‘Sebenarnya mereka semua datang untuk me’rasa’i dan meng’alam’i sesuatu yang ada di kedai ini’, ujar ayahnya. ‘Merasai dan mengalami?’ Tanya Arif agak keliru. ‘ A’ah, pelanggan nak merasai dan mengalami, jadi hakikatnya kedai ini menjual Rasa dan Pengalaman. Memanglah pada zahirnya kedai ni jual sup tapi sup itu sebenarnya hanya menjadi wasilah atau penyampai kepada rasa dan pengalaman. ‘Apabila Arif hirup sup tadi, Arif boleh rasa nikmatnya kan?’ ujar ayahnya.
Arif mengangguk perlahan. ‘ Tubuh terasa segar dan cergas, tambahan pula, kedai ni terbuka takde dinding hinggakan kita boleh terasa hembusan angin dari luar’, ujar ayahnya. ‘ Pelayan pula cepat menghidangkan pesanan kita, itu juga menambah pengalaman kita. Jadi sup yang sedap, kedai yang nyaman berangin dan layanan yang baik bergabung menjadi satu jualan Rasa dan Pengalaman’, terang ayahnya. ‘Ok, Arif faham yang tu, tapi apa kaitan dengan dakwah?’ Tanya Arif. ‘Seorang Daie tu macam pemilik kedai sup ini juga. Bezanya cuma dari segi zahir jualan. Arif nak ‘jual’ Islam macam pakcik kedai ni nak jual sup. Sedap macamanapun sup tadi tapi kalau kedainya tak baik, layanannya tak baik, susah nak berjaya. Islam begitu juga, sebagai jualan memang dah yang terbaik, tetapi kalau kedai kotor dan pelayan tak baik, siapa nak beli, siapa akan tertarik, sebab akhirnya yang akan menarik orang ialah Rasa dan Pengalaman’, terang ayahnya. ‘ Jadi berdakwah ni macam jual sup la, kita bukan jual sup sahaja tapi semua yang ada di persekitaran sup ni, begitu ke abah? Tanya Arif pada ayahnya. ‘Betul, tapi Islam tak sama dengan sup, itu perumpamaan sahaja’, ujar ayahnya seraya tersenyum. ‘Kita balik dulu, cuma abah nak Arif fikirkan kenapa abah ajak makan di kedai yang berbeza-beza, kedai mamak, KFC, kedai tomyam dan lain-lain’, pinta ayahnya. Arif mengangguk-anggukkan kepala. Dia tidak menyangka cuti kali ini menjadi suatu kembara pemikiran yang menarik.
Belajar Dakwah Di Kedai Makan
Seorang anak muda baru sahaja pulang ke kampung selepas tamat peperiksaan di kampus. Sebagai seorang yang terlibat dengan gerakan dakwah, Arif berharap agar pulangnya ke kampung tidak hanya membuang masa kerana tidak ada aktiviti atau program usrah dan sebagainya di kampung. Arif tidak pernah merahsiakan keterlibatannya dalam aktiviti dakwah daripada kedua orang tuanya. Beliau merasa lega kerana ibu bapanya tidak menghalang melainkan hanya berpesan agar tidak mengabaikan pelajaran.
Pada suatu hari ayahnya telah mengajak untuk makan di luar. Arif bertanya, ‘Abah, kita nak makan kat mana?’ Kita nak makan di kedai mamak Ali kat pekan tu,’ jawab ayahnya. Arif mengikut sahaja walaupun dia bukannya gemar sangat dengan makanan di kedai mamak. Sekadar meraikan hajat orang tua.
Selang beberapa hari, sekali lagi ayahnya mengajak keluar, makan di restoran. Kali ini ayahnya mengajak makan di KFC. Arif kurang selesa kerana ada yang mengatakan KFC perlu diboikot kerana membantu Amerika, tetapi pada masa yang sama ada yang menolak pemboikotan KFC di Malaysia kerana ia dimiliki syarikat Muslim yang banyak membantu sosio ekonomi orang Islam. Sekali lagi Arif menurut sahaja kerana meraikan kehendak orang tuanya.
Tidak lama selepas itu ayahnya sekali lagi mengajak Arif makan di kedai makan. Sepanjang cuti ini sudah beberapa kali ayahnya mengajak makan di kedai. Arif merasa bingung kerana setahunya ayahnya bukan jenis makan di luar sangat. Hinggalah pada hari itu, Arif dan ayahnya berada di kedai makan yang khusus menjual aneka sup. Arif tidak dapat menahan dari bertanya, ‘Sebenarnya Arif pelik bila abah ajak Arif makan kat luar sebab setahu Arif abah bukan jenis suka makan di luar’. Ayahnya tersenyum mendengar kata-kata Arif.
Ayahnya menjawab,’ Abah tahu Arif kat universiti sibuk dengan aktiviti dakwah selain belajar untuk mendapat segulung ijazah. Jadi abah ajak Arif makan ni untuk membantu dalam kerja-kerja dakwah Arif ‘. ‘Makan kat kedai untuk bantu dakwah?’ Soal Arif. ‘ Kena ajak orang makan kat kedai ke? rasanya kalau ajak makan tu memang biasa’. tambahnya lagi. ‘Bukan macam tu’, ayahnya menjawab. ‘ Abah ajak Arif makan kat kedai bukan untuk ajak orang atau yang seumpamanya, tetapi supaya Arif sendiri lebih memahami tentang dakwah itu. Takpelah, nanti abah terangkan masa kat rumah’, ujar ayahnya. Arif merasa lebih pelik. ‘Belajar dakwah di kedai makan? Hmm, tak pernah dengar, orang belajar di kuliah atau di masjid, bukan di kedai makan’, Arif berfikir sendirian.
(bersambung)
Serumpun Ber-ukhuwwah : Kelantan, Indonesia… Malaysia
Saya baru sahaja pulang dari bermusafir di Kota Bharu, Kelantan. Kota negeri yang dikenali dengan gelaran ‘Serambi Mekah’. Begitu pesat pembangunan yang sedang berlaku di sana. Sistem jalannya baru sahaja diubah menjadikan sebahagian jalannya menjadi jalan sehala.
Dataran yang dulunya tempat berehat di depan bangunan Tenaga Nasional telah menjadi ‘highway’ yang sibuk. Warung-warung makan di tepi ‘padang bas’ kini telah tiada, bertukar menjadi gedung membeli belah. Mujurlah gedung buku Jaafar Rawas masih seperti dahulu. Terasa hilang sedikit identiti Kota Bharu.
Saya berharap agar pihak berkuasa di sini tidak terlalu berkejar membina bangunan. Keistimewaan Kota Bharu adalah disebabkan keunikannya ciri-cirinya. Orang datang ke Kota Bharu untuk melihat budayanya, juga untuk melihat budaya niaga usahawan-usahawan kecil Melayu yang begitu gigih yang memeriahkan suasana di tengah-tengah kota ini.
Mungkin wajar kita melihat bagaimana pasar malam di Marrakech, Maghribi (gambar di bawah) yang kini diiktiraf menjadi tapak warisan oleh Unesco. Pun begitu, harap-harapnya pembangunan materi itu selari dengan pembangunan insaniah warganya.
Kunjungan singkat saya sempat menemukan saya dengan beberapa sahabat yang telah lama tidak bertemu. Salah seorang yang saya sangat berhajat untuk bertemu ialah Dr Arif yang tidak sempat saya ziarahi ketika beliau sakit akibat serangan jantung satu dahulu.
Beliau adalah pemilik Klinik Ehsan yang beroperasi di ‘kedai’ Ketereh. Perkataan ‘kedai’ bermaksud pekan dalam istilah orang Kelantan. Dr Arif juga dikenali sebagai Dr Ehsan bagi sesetengah pesakit beliau. Sebagai seorang yang pernah menjadi ‘mas’ul’ saya, saya merasa terhutang selagi tidak bertemu beliau.
Dalam kesibukan beliau menguruskan klinik dan tugasan-tugasan lain, sempat juga beliau meluangkan masa berjumpa saya untuk makan tengahari bersama. Kami berkongsi cerita dan pengalaman masing-masing. Beliau seperti biasa tetap ceria dan sudah bercucu rupanya. Begitu cepat rasanya masa berjalan.
Antara yang menarik pada saya ialah pengalaman beliau turut serta dalam misi kemanusiaan ke Padang yang baru-baru ini ditimpa musibah gempa bumi. Beliau turut serta dalam misi kemanusiaan Haluan yang memberikan bantuan perubatan dan sebagainya kepada mangsa-mangsa gempa di sana. Beliau menceritakan tentang penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh penduduk Padang. Kehadiran saudara-saudara dari Malaysia yang datang membantu amat dihargai penduduk yang sedang kesusahan. Beliau menceritakan tentang ada penduduk yang mengharapkan mereka datang bukan sekadar membantu aspek kebendaan tetapi juga aspek Iman dan ‘aqidah.
Apa yang berlaku sekarang kebanyakan dari misi-misi bantuan yang datang adalah dari pertubuhan-pertubuhan misionaris Kristian. Pertubuhan-pertubuhan ini datang dengan segala macam bantuan yang diperlukan. Timbul kebimbangan tentang pengaruh mereka kepada ‘aqidah mangsa-mangsa yang dibantu. Dalam hal ini saya berpendapat adalah tidak wajar jika kita berasa marah kepada para misionaris itu kerana mereka hanya melakukan apa yang mereka percayai sebagai benar. Apa yang penting ialah bagaimana Muslim mahu menyaingi mereka dari segala sudut.
Maka kehadiran Dr Arif dan rakan-rakannya merupakan suatu perkara yang sangat besar dalam aspek ini. Mereka datang membawa bukan sekadar membawa ubat atau makanan, tetapi kedatangan mereka merupakan syi’ar yang menampilkan Islam sebagai rahmah kepada alam ini. Ramai dari mereka yang menyertai misi kemanusiaan itu adalah mereka yang berharta dan dan hidup senang di Malaysia namun mereka juga kaya dengan rasa ukhuwwah dan kaya dengan sifat belas.
Ironinya, sewaktu berjalannya misi kemanusiaan itu sentimen anti Malaysia sedang membara di Indonesia. Insiden-insiden yang berlaku di antara warga Malaysia dan Indonesia bagaikan minyak yang menambah maraknya api kebencian. Ada yang menukar nama Malaysia menjadi ‘Malingsia’ (maling=pencuri). Insiden kapal laut tentera, kekejaman majikan Malaysia, tarian pendet dan macam-macam lagi menjadi bahan api kemarahan. Bendera Malaysia dibakar, kedutaan dibaling dengan telur dan ada yang menghentikan orang di jalanan semata-mata mahu mencari rakyat Malaysia.
Sesi ‘unjuk rasa’ diadakan dengan emosi yang meluap-luap di Jakarta. Sehinggakan ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang belajar di Indonesia merasa khuatir dengan keselamatan anak-anak mereka. Anak-anak Malaysia di Jakarta bimbang untuk keluar bimbang dicederakan mereka yang hilang pertimbangan.
Di Malaysia juga timbul kemarahan kepada warga-warga Indonesia yang dilihat ‘ramai’ terlibat dengan jenayah berat. Rompakan dan pecah rumah adalah dua jenayah yang sering dituding pada warga Indonesia di Malaysia.
Orang Malaysia memanggil warga Indonesia dengan panggilan ‘Indon’ yang dianggap agak menghina bagi warga Indonesia. Saya teringat seorang pelajar peringkat sarjana di bawah seliaan saya yang menyatakan kekecewaan dengan sikap orang Malaysia yang memanggilnya dengan panggilan ‘Indon’. Mungkin kepada orang Malaysia itu hanyalah sebagai singkatan dari ‘Indonesia’ tetapi baginya itu adalah satu penghinaan.
Ada yang marah dengan orang Malaysia kerana tidak menghargai sumbangan tenaga kerja Indonesia dalam pembangunan Malaysia. Pada masa yang sama pula ada yang marah kepada warga Indonesia yang tidak berterima kasih dengan peluang kerja di Malaysian yang telah memberi kemakmuran kepada banyak desa di Indonesia. Manakala di tengah-tengah dua kelompok itu ada golongan yang mempunyai pelbagai kepentingan dan mencari makan dari penjual surat khabar yang perlu ‘sensasi’ berita, orang politik yang mahu menang pilihanraya hinggalah tokoh khalayak yang mahu jadi popular.
Pada hakikatnya ada orang Jahat di Malaysia dan juga di Indonesia. Bukan semua Malaysia itu jahat, dan bukan semua Indonesia itu baik. Yang jahat itu manusia bukan buminya. Yang jahat itu seseorang, bukan semua orang. Namun, sudah menjadi adat manusia yang jahil atau bodoh akan menjadi tunggangan yang cerdik. Semangat Asabiyah dikipas agar terbakar dan terus terbakar.
Pada masa yang sama kita perlu bersikap adil. Majikan yang jahat perlu dihukum, pekerja yang jahat perlu juga dihukum. Saya yakin mereka yang berpegang dengan Islam tidak akan mudah dipengaruhi dengan sentimen-sentimen ‘kebangsaan’ itu. Namun, saya juga menerima hakikat bahawa ramai di kalangan orang Islam sendiri tidak ‘berpegang’ dengan Islam, baik di Malaysia mahupun di Indonesia. Bahkan kalau kita amati banyak pertelingkahan yang berlaku antara sesama Muslim adalah kerana kuatnya mereka berpegang dengan suku dan bangsa.
Sejarah Aus dan Khazraj di sambung oleh Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah sehinggalah kepada pertembungan antara pemberontakan orang Arab dengan Khilafah Uthmaniyyah. Akibat pengaruh kesukuan yang begitu kuat maka kita sekarang mendapati pusat dunia Islam diletakkan di bawah pengaruh kesukuan atau ke’bangsa’an. Bukankah Makkah dan Madinah yang di dalamnya ada Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi dikuasai oleh Arab ‘Saudi’ (Bani Saud) yang dahulunya kita kenali hanya sebagai tanah Hijaz.
Sebaiknya kita mengambil pengajaran dari Al-Qur’an yang mengajar kita tentang kehidupan ini. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah diantara kedua saudaramu (yang bertelingkah) itu. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlakulah adil, Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil” - Al-Hujurat;9.
Dan,
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui , Maha Teliti” – Al-Hujurat;13.
Mungkin bagi sesetengah orang, maksud ayat-ayat Al-Qur’an yang dinyatakan tadi hanya layak untuk ditulis menjadi perhiasan di dinding. Tetapi bagi sebahagian yang lain pula ayat-ayat tadi mempunyai maksud yang jelas dan menjadi panduan dalam kehidupan seharian. Mereka ini mungkin berwajah Malaysia ataupun berwajah Indonesia atau mungkin berwajah-wajah lain lagi.
Apa yang pasti dalam kesibukan sesetengah manusia bersentimen dan bersikap jahil, Dr Arif dan rakan-rakannya akan terus bekerja dan berkhidmat tanpa berkira siapa kerana pada akhirnya yang penting adalah Allah redha.
Teringat…diingatkan
Menjadi pendidik bukan sekadar mengajar alif, ba, ta atau A,B,C. Bukan pula untuk sekadar mengajar yang bumi ini bulat atau kira mengira. Kalau sekadar itulah yang dilakukan, tidak perlu seseorang itu berguru dengan manusia, cukup dengan komputer yang diisi perisian-perisian yang sesuai.
Antara tarikan terbesar saya menjadi pendidik atau pensyarah ialah disebabkan terbukanya peluang untuk membentuk para pelajar yang berhadapan dengan saya. Para pelajar bagi saya adalah umpama tanah liat yang menanti untuk dibentuk menjadi hasilan-hasilan yang harganya jauh lebih mahal dan lebih mulia dari tanah liat yang asalnya hanyalah tempat untuk dipijak orang. Saya berpandangan seorang pensyarah atau pendidik mempunyai tanggungjawab sebagai pemberi ‘nilai’ kepada anak didiknya. Saya tidak mahu melahirkan sebuah ‘komputer’, tetapi saya mahu melahirkan ‘manusia’. Bak kata orang dulu-dulu, ‘biarlah jadi orang’.
Setiap kelas atau kuliah, selalunya pasti ada selingan-selingan, pesanan-pesanan dan sebagainya. Cuma, apabila kita sering bercakap adakalanya kita terlupa dengan apa yang kita cakapkan, seperti yang berlaku pada saya pada suatu hari.
Sehari sebelum berangkat ke Melbourne suasana di Akademi Islam sibuk macam biasa dan dengan masalah parking yang juga macam biasa. Kerana susah mencari parking, saya pun parking di petak untuk OKU dan masuk ke pejabat.
Tengahari tersebut saya keluar makan dengan Ust Sufian menaiki kereta beliau. Tiba-tiba saya menerima sms dari pelajar saya. ‘En. Wahab, kereta WFJ5291 tu kereta encik kan?’ Saya balas ‘Ya, Kenapa?’ Pelajar saya membalas semula,’Bukan ke En.Wahab cakap kat kelas tak boleh parking kat tempat orang cacat’. Saya berpaling pada Ust.Sufian dan berkata,’ alamak student tahu la kereta kawe’. Dia tersengih geli hati. Saya pun tersengih, sama-sama gelihati. Saya tersenyum seorang diri apabila teringat hari tersebut. Tetapi ia turut menjadi peringatan untuk saya agar sentiasa beringat. Mujur ada yang mengingatkan kerana sebagai manusia kita sering melakukan kesalahan walau apa pun jawatan yang disandang.
Dengan anak-anak pun begitu, banyak pesanan-pesanan yang disampaikan sehingga pastinya ada yang saya terlupa. Seringkali juga merekalah yang akan mengingatkan tentang apa yang saya sendiri pernah berpesan pada mereka. Kena begini, kena begitu, saya pun bernasihat. Namun dari satu jari yang menunjuk ke depan, empat lagi jari menunjuk kebelakang, iaitu pada diri sendiri. Begitu juga dengan isteri saya, dia banyak mengingatkan saya tentang perkara-perkara yang sebahagiannya saya sendiri tuturkan sebagai pesanan dan sebagainya. Saya bersyukur mempunyai isteri sepertinya.
Sememangnya kalau saya mahu melihat dari aspek kedudukan, sebagai pensyarah, sebagai ayah dan sebagai suami mungkin akan timbul rasa ‘enggan’ yang menghalang dari melihat ingatan dan teguran dari neraca yang seimbang. Siapalah mereka nak menegur saya. Apa kelulusan mereka, apa kedudukan mereka, mungkin itulah yang akan menjadi pertimbangan jika ego dilayan. Begitu banyak contoh di sekeliling kita yang menyaksikan keangkuhan dan kesombongan lantaran mendapat sedikit kelebihan berbanding manusia lain. Ada yang menjadi angkuh kerana ada ‘title’; Dr, Professor, Datuk, Tun dan sebagainya. Atau mungkin angkuh kerana dia adalah Hartawan, Jutawan dan Billionawan. NaudzubilLah Min Dzalik, mohon Allah jauhkan dari rasa angkuh dengan sandangan yang hakikatnya tak seberapa.
Walau pada zahirnya saya memberi pesan kepada isteri dan anak-anak juga kepada para pelajar saya namun disebaliknya saya merasakan sayalah yang banyak belajar daripada mereka. Sesungguhnya saya amat menghargai kehadiran mereka dalam hidup saya. Semoga Allah sentiasa memelihara kehidupan saya dan mereka.
Peperiksaan dan Ujian
Tulisan ini ditujukan kepada semua yang sedang berhadapan dengan peperiksaan, moga ada manfaatnya
Dari Australia ke Malaysia hinggalah ke UK dan Jordan, ramainya mereka yang saya kenali menghadapi peperiksaan. Saya doakan agar semua yang menghadapi apa jua peperiksaan akan dipermudahkan oleh Allah s.w.t.
Terfikir saya untuk membuat sedikit catatan tentang peperiksaan yang begitu besar pengaruhnya kepada sebahagian besar daripada kita.
Apabila difikir-fikir rupa-rupanya sudah sekian lama kita berhadapan dengan peperiksaan, dari kecil bermula dengan sekolah rendah hinggalah ke universiti peperiksaan menjadi kemuncak dalam kehidupan belajar. Bagi mereka yang pernah bersekolah pasti pernah menghadapi suasana peperiksaan. Malah di sesetengah tempat, untuk berkahwin pun perlu berhadapan dengan peperiksaan.
Kejayaan dan kegagalan seorang pelajar dinilai dari keputusan peperiksaannya. Maka tidak sedikit dari mereka yang bergelar pelajar bertungkus lumus memastikan agar peperiksaan yang akan dihadapi nanti tidak akan membawa berita kecewa dan hambar.
Bermacam ragam, gaya dan kaedah digunakan oleh para pelajar untuk berhadapan dengan peperiksaan. Ada yang dari awal penggal atau semester sudah merencana bagaimana menghadapi peperiksaan. Ada pula yang ‘slow-starter’ iaitu lambat panas, makin cergas apabila makin menghampiri peperiksaan. Ada juga yang panas hanya ketika membeli buku teks di awal musim tetapi makin kendur seiring dengan masa. Namun ada juga yang tiba-tiba cergas pada malam sebelum peperiksaan siap dengan qiyamullail dan sebagainya. Cuma… ada juga yang begitu sibuk belajar hingga amat lewat, tetapi akhirnya terlepas solat Subuh.
Selain dari itu pelbagai strategi yang digunakan untuk memastikan kejayaan dalam peperiksaan. Ada yang hadir hari-hari ke kelas dan…ada juga yang hadir sekali-sekali ke kelas. Ada yang membaca waktu malam dan ada yang membaca waktu siang. Ada yang belajar sendirian dan ada yang perlu teman baru faham. Ada yang perlu ada muzik manakala ada pula yang perlu suasana sepi. Bermacam-macam dan pelbagai sekali. Betapa Allah menjadikan kita begitu kaya dengan sifat-sifat yang cukup berbeza walaupun warna darah dan rambut serupa.
Alangkah baiknya jika semua peperiksaan itu menjadikan kita lebih dekat dengan Allah yang menyediakan kita peperiksaan-peperiksaan kecil supaya kita boleh berlatih sebelum kita berhadapan dengan peperiksaan terpenting dalam kewujudan sebagai insan. Hakikatnya, kita akan berhadapan dengan peperiksaan di alam Barzah dan di padang Mahsyar tanpa terkecuali.
Sebagaimana kita bersedia dengan peperiksaan yang mempunyai nama-nama yang berlainan yang wujud di dunia begitulah juga kita berhadapan dengan peperiksaan ter’akhir’ kita. Ada yang disiplinnya kuat, sedari awal terus berlari, mempersiapkan diri. Ada juga yang lambat panas, tetapi makin lama makin cergas, berlatih dan bersiap. Bagaimana dengan kita?bagaimana dengan anda?bagaimana dengan saya? Apa strategi yang mahu diguna, apa gaya kita, atau adakah kita terus leka sedangkan peperiksaan itu makin mendekati. Cuma bezanya, peperiksaan lain semua sudah ada tarikhnya sedangkan peperiksaan yang ‘itu’ kita tidak tahu bila.
Ampuni hamba-hambaMu ini, ya Allah. Berikanlah kekuatan kepada kami untuk menghadapi segala peperiksaan, ya Allah. Jadikan peperiksaan yang kami hadapi di dunia menginsafkan kami tentang peperiksaan di MahsyarMu ya Allah. Berikan kami RahmahMu agar kami lulus di dalam peperiksaan sama ada peperiksaan dunia mahupun akhirat, ya Allah. Hanya Engkau yang kami sembah dan… hanya pada Engkaulah tempat kami memohon pertolongan. Perkenankanlah, Amin Yaa Rabbal ‘Alamiin.
Melbourne, 1.40am

Recent Comments