Belajar Dakwah Di Kedai Makan 4

“Baik, cuba kamu fikirkan beza KFC dengan kedai-kedai makan lain, apa yang kamu tahu tentang KFC”. “Dia jual ayam goreng je, itupun takla sedap sangat”, Sabri mencelah. Teringat kata-kata ayahnya dahulu, Arif berkata,”Ayah saya ada menyebut sebuah kedai bukan jual makanan sahaja tapi jual rasa dan pengalaman”. Dr Fikri tersenyum mendengar jawapan anak muridnya. “Kamu berdua betul, KFC jual ayam goreng sahaja pada zahirnya tapi pada keseluruhannya KFC jual macam-macam”.

Dr Fikri menyambung,”Seperti yang ayah kamu katakan KFC juga jual rasa dan pengalaman, KFC juga jual pada kita suasana dan status sehingga pada akhirnya orang sanggup membeli walaupun cuma ayam goreng yang dijual”. “Cuba fikir kenapa KFC pilih warna merah, warna cerah, beza dengan kedai-kedai lain yang jual lauk macam-macam. Cantikkan, suasananya tenang ceria”, tambah Dr Fikri. “Akhirnya, dengan usaha yang begitu rapi KFC berjaya mendakwah manusia seluruh dunia untuk menganut fahaman makan ayam goreng sepanjang hari”, jelas Dr Fikri yang mengundang tawa anak-anak muridnya. “Jadi, sekarang faham tak?” tanya beliau. “Faham Dr, dalam dakwah kita kena buat macam KFC juga”, jawab Arif.

“Bagus, cuba kita nilaikan apa yang ada pada KFC yang kita boleh teladani. Ha, Sabri, cuba fikir”. “Ye, Dr, tengah fikir ni”, jawab Sabri. Dr Fikri menyambung terus tanpa menunggu jawapan murid-muridnya,”Mula-mula cuba tengok ayam KFC, apa yang kita terfikir? hmm, rangup, dagingnya lembut dan panas sehingga keluar wap bila digigit”. “Cair air liur saya Dr”, kata Arif. Tergelak mereka bertiga. “Haa, KFC jaga kualiti ayam gorengnya walaupun kamu kata tak sedap sangat Sabri”, jelas Dr Fikri.

“Pengasas KFC, Kolonel Sanders yakin dia ada produk yang berkualiti, manakala kita sebagai Muslim pun yakin bahawa kita ada produk yang sangat hebat, jadi persoalannya macamana kita nak buat orang sanggup beli Islam. Yang kita bimbang orang tak nak beli disebabkan kita”, ujar Dr Fikri seterusnya menyambung, “Lepas tu cuba tengok kedai KFC macam yang saya sebut tadi, cantik dan mengundang kita untuk datang, lepas tu bila kita nak order, cashier pun sebut welcome, walaupun cashier tu sendiri mungkin tak pernah welcome orang kat tempat lain”.

“Betul tu Dr, kat setengah kedai kita datang tak ada siapa yang layan, kita datang umpama ganggu rehat, walaupun sebenarnya kita datang nak beri duit pada dia”, komen Sabri. “Dakwah begitulah juga, suasana dan layanan sangat penting”, kata Dr Fikri. “Cuba bayangkan, kamu adalah wasilah hidayah kepada seseorang, hebat bukan. Betapa besar peranan kamu di sisi Allah. Besar pahalanya. Sedangkan orang yang gajinya kecil mati-matian kerja dengan KFC, apatah lagi kamu yang kerja dengan tuhan”, tambah Dr Fikri.

“Saya rasa kita perlu mengKFCkan usaha-usaha dakwah”, Sabri berkata dengan tegas. “Ye Sabri, KFCkanlah dakwah, semoga pengKFCian dakwah membawa hasil yang lebih baik, tapi jangan lupa, apa yang KFC buat sebenarnya mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. hahaha,” ujar Dr Sabri sambil ketawa. “KFC ikut sunnah?” Sabri bertanya sambil memandang Arif yang juga memandangnya.

Apabila melakukan kesilapan

Ketika kita mengharungi kehidupan sudah tentu banyak kesilapan yang telah dan akan kita lakukan. Ada kesilapan yang kecil dan ada yang besar. Ada yang kita boleh lalui dengan sekilas pandangan, namun adakalanya ia mengubah seluruh kehidupan kita. Sesiapa antara kita yang tidak pernah membuat kesilapan tentunya telah mencapai tahap malaikat.

Realitinya setiap insan ada cacat celanya, pasti ada melakukan kesilapan, kesalahan dan perkara-perkara yang memalukan diri. Untuk saya sendiri, terlalu banyak kesilapan yang telah saya buat dalam hidup ini. Dan sebagai manusia saya akan terus melakukan kesilapan demi kesilapan pada masa hadapan. Adakalanya saya berasa malu untuk berhadapan dengan manusia lantaran kesilapan-kesilapan yang telah saya lakukan.

Dalam banyak keadaan saya berasa seperti seorang munafik yang menempelkan topeng kebaikan di wajah yang penuh kudis dan najis. Apatah lagi apabila orang sekeliling memandang dengan pandangan yang tinggi, sedangkan saya tahu saya ini siapa. Ketika hati berasa hancur, hadir seorang sahabat memberi nasihat, teruskan apa yang kamu lakukan biar apapun yang hati kamu rasakan, moga nanti Allah akan benar-benar menjadikan kamu orang yang kamu sebutkan dalam kata-kata kamu dan nasihat-nasihat kamu.

Teringat peringatan Dr Tariq Ramadhan, jika kamu berasa bersalah dengan kemunafikan yang ada dalam diri ketahuilah pada waktu itu kamu beriman. Dan saya pernah terdengar ada yang mengatakan, jika kesilapan yang dilakukan membuatkan kita kembali kepada Allah, itu merupakan suatu kebaikan.

Yang pasti, satu kebaikan yang saya peroleh ialah kefahaman bahawa seorang pendosa yang menyedari dosa-dosanya pasti tidak akan berjalan ke sana kemari berasa dirinya suci. Walau siapapun di hadapan saya, buruh kasar ataupun pencuri, belum tentu saya lebih baik daripadanya kerana mungkin sahaja di sisi Allah dia lebih mulia dan dosanya tidak seberat dosa-dosa saya.

Sesungguhnya saya sangat bersyukur, dengan rahmahNya, saya mempunyai teman-teman yang sering mengingatkan, yang membantu untuk kebaikan, dan yang dapat saya kongsi kekuatan mereka ketika saya merasa lemah dan lelah dengan diri sendiri.

 

Salam Bertemu Kembali

Assalamualaikum, kepada semua yang menziarahi blog ini. Moga anda semua sentiasa di bawah naungan Rahmah Allah SWT. Selawat dan salam buat Rasulullah SAW yang kita cintai.

Telah empat tahun berlalu semenjak saya menulis catatan terakhir dalam blog ini, dan begitu banyak perkara yang berlaku di dunia ini dan dalam kehidupan saya. Terima kasih kepada yang sudi meluang masa di sini. InsyaAllah saya akan kembali menulis dan berkongsi pandangan dan pengalaman, moga akan memberi manfaat kepada semua, terutamanya untuk diri saya sendiri.

Lembah Pantai…

 

nota: kepada yang bertanya tentang Khalid (mekanik di Raub) saya mohon maaf kerana saya telah kehilangan nombor telefon beliau kerana telefon rosak dan sebagainya. InsyaAllah jika saya berkunjung ke sana pada masa akan datang saya akan cuba dapatkan nombor beliau.

Raub dan kereta yang rosak

Tugasan yang digalas memerlukan saya untuk berangkat ke Kota Bharu. Kota Bharu bagi saya adalah satu bandar yang cukup istimewa. Pengalaman menjalani kehidupan di bandar ini menyebabkan saya selalu merasa ingin menziarahinya. Namun apakan daya kesempatan jarang terluang untuk berziarah ke sana.

Memandangkan keperluan tugasan yang agak banyak, saya memutuskan untuk memandu kereta ke sana. Pagi Sabtu itu saya berkemas untuk bertolak ke Kota Bharu. Setelah siap berkemas saya pun bergerak dengan kereta Proton Iswara saya yang sudah agak berumur tapi masih setia berkhidmat. Ada beberapa orang yang agak ‘concern’ bila mengetahui saya akan memandu kereta Iswara ini. Kereta Iswara saya ini telah lama tidak saya gunakan disebabkan saya berada di Melbourne. Sekembalinya saya dari Melbourne, saya mendapati beberapa kerosakan telah berlaku kepada kereta saya, dari bateri, penghawa dingin hinggalah kebocoran minyak pelincir.

Perjalanan pada hari tersebut berjalan lancar. Dari Bangi saya bergerak ke Kuala Lumpur seterusnya menyusuri lebuhraya Karak hinggalah ke bandar Bentong. Kereta terasa bergoyang ketika melalui bandar Bentong sehingga saya terpaksa berhenti seketika. Saya sangkakan ada tayar yang bocor tetapi apabila diperiksa semuanya berkeadaan baik. Saya pun memutuskan untuk meneruskan perjalanan. Apabila menghampiri bandar Raub sekali lagi terasa kereta bergoyang sehingga menyukarkan saya untuk mengawal kereta saya. Perlahan-lahan saya mencari bengkel kereta. Akhirnya, terjumpalah satu bengkel yang agak besar. Kereta saya pun diperiksa salah seorang mekanik yang ada di sana. Didapati ‘drive-shaft’ kereta saya telah rosak. Sebenarnya saya sendiri telah menjangkakan hal yang sama. Cuma yang tak saya jangka ialah kos ‘repair’ yang disebut. Kos untuk sebelah ‘drive-shaft’ adalah RM600, disebabkan saya perlu kedua-dua belah maknanya kos keseluruhan ialah RM1200. Itupun saya tak pasti termasuk upah atau tidak.

Saya tidak dapat menerima kos yang begitu tinggi kerana mengikut pengalaman saya kos drive shaft tidaklah semahal itu. Saya pun bertanya kepada mekanik yang terbabit sama ada beliau mengenali mana-mana mekanik di luar sana yang boleh membantu saya. Dengan senyap-senyap beliaupun menghubungi seseorang dengan handphone. Beliau meminta seseorang untuk menolong membaiki kereta saya. Selepas itu beliau meminta saya menunggu seseorang dan mengikut individu tersebut yang akan membaiki kereta saya. Saya mengucapkan terima kasih atas pertolongan beliau. Beliau menjawab beliau sekadar menolong sesama Islam.

Untuk mengelakkan dicurigai oleh pemilik bengkel, individu tersebut berhenti di luar kawasan bengkel. Mekanik tadi meminta saya mengikut sebuah kereta yang sedang berhenti di luar bengkel. Walaupun drive-shaft kereta saya rosak ia masih boleh dipandu dengan perlahan. Saya pun mengikut kereta tersebut hinggalah ke sebuah kampung iaitu di Kampung Sempalit.

Individu tersebut telah membawa saya ke sebuah rumah kampung yang saya lihat tiada ruang atau bengkel untuk membuat kerja-kerja membaiki kereta. Individu tersebut meperkenalkan diri sebagai Khalid dan bertanyakan apa masalah kereta saya. Saya bertanya beliau di mana tempat beliau membaiki kereta. Beliau mengatakan beliau tidak mempunyai garaj atau bengkel. Kereta dibaiki di halaman rumah sahaja. Rumah tersebut adalah rumah ibu bapa beliau. Khalid yang masih belum berkahwin tinggal bersama ibubapanya dan juga beberapa adik-beradiknya yang lain.

Khalid mengatakan harga ‘drive-shaft’ dalam lingkungan RM140 sebatang. Saya memberikan beliau RM300 ringgit untuk membeli ‘drive-shaft’ di kedai alat-alat ganti. Sewaktu beliau keluar membeli ‘drive-shaft’ saya pula meminta izin untuk menunaikan solat di rumahnya. Ibu bapa Khalid mempersilakan saya untuk solat di sebuah bilik. Selepas itu ayah Khalid pun keluar kerana ada urusan. Segan juga rasanya kerana sudahlah tidak mengenali mereka tetapi masuk ke rumah hingga ke ruang dapur untuk mengambil wudhu’ dan menggunakan bilik salah seorang anak mereka.

Solat adalah penghubung antara makhluq dan Khaliq. Walau apapun yang dihadapi, sekali-kali solat tidak boleh ditinggalkan. Bagaimana mungkin kita mahu meminta tolong dengan Allah kalau kita sendiri enggan berhubung ‘direct’ dengan Allah. Solat itu seumpama ‘direct help-line’ kita dengan Allah. Dari sudut mana pun kita lihat, yang pasti dengan solat yang untung itu kita.

Setelah selesai solat saya pun keluar dari bilik dan tak lama selepas itu Khalid pun pulang dengan membawa ‘drive-shaft’ yang baru. Kos ‘drive-shaft’ hanya RM130 sebatang. Beliau memulangkan baki wang yang saya berikan tadi. Ketika kerja repair berjalan ibu Khalid pun keluar dengan kuih-kuih raya dan air minuman. Saya mengatakan pada ibu Khalid, ‘ini dah jadi beraya pulak ni’. Sempat jugalah saya bersembang panjang lebar dengan Khalid dan ibunya tentang pelbagai perkara terutama tentang kehidupan keluarga mereka. Daripada perbualan itu saya mendapat maklumat tentang keluarga mereka dan kehidupan mereka di rumah yang dikelilingi kebun getah. Pada masa yang sama saya berdoa agar tidak hujan ketika itu kerana kereta dibaiki di halaman yang tidak berbumbung. Pada jam 5 petang barulah semua kerja selesai. Saya lebihkan sedikit upah Khalid bagi menghargai pertolongannya. Mulanya beliau menolak, tapi saya memberitahu beliau, kos upah ini terlalu sedikit berbanding kos yang disebut di bengkel tadi. Kemudian, mekanik yang menghubungi Khalid untuk membantu saya pun sampai dari tempat kerjanya. Khalid mengatakan pada mekanik itu bahawa kos yang disebut di bengkel itu terlalu mahal. Mekanik itu cuma menjawab, ‘tau takpe’. Pesan ayah Khalid pada saya beritahulah tentang Khalid kalau ada kawan-kawan nak repair kereta di kawasan Raub. Saya hanya menjawab InsyaAllah pada pesanannya itu.

Sewaktu saya mahu meninggalkan halaman rumah itu, ayah, ibu, adik, mekanik itu dan Khalid sendiri ada di luar rumah. Mereka melambaikan tangan ketika kereta mula bergerak keluar . Terasa seperti meninggalkan rumah saudara sendiri. Datang sebagai orang asing, pulang sebagai saudara.

Saya bergerak meninggalkan Raub pada lebih kurang jam 5 petang dan sampai di Kota Bharu hampir jam 11 malam.

Terfikir-fikir peristiwa yang baru berlaku. Teringat dalam Al-Qur’an menyebut, ‘Sesungguhnya beriringan dengan kesusahan itu kesenangan’. Betapa benarnya ayat itu.

Sesungguhnya saya tidak mengenali sesiapa di Raub, dan rasanya mungkin tiada orang Raub yang kenal dengan saya. Secara logiknya orang-orang yang tidak mengenali sesiapa mungkin akan lebih menghadapi masalah dan lebih mudah menjadi mangsa. Menjadi kelaziman dunia, apabila tidak kenal maka tidak cinta, apabila tidak kenal maka tidaklah peduli. Apa yang perlu kita sedar ialah, biarlah orang semua tidak kenal kita, yang penting Allah kenal kita dan Allah peduli dengan kita.

Di dalam Al-Qur’an disebutkan, ‘…barangsiapa bertaqwa kepada Allah, maka Dia memberi jalan keluar, dan memberikan rezeki yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah maka Dialah yang mencukupkannya’. (At-Thalaq: sebahagian ayat 2&3).

Tidak ada jalan keluar yang lebih baik dari jalan keluar yang Allah sediakan, dan tidak ada rezeki yang lebih baik dari rezeki yang Allah tentukan.

Wallahua’lam…

Kota Bharu, Kelantan

Keterlibatan Pertubuhan Islam dalam Aktiviti Perniagaan: Satu komentar (1)

Apabila satu pertubuhan Islam yang menjalankan aktiviti dakwah menceburkan diri dalam aktiviti perniagaan, antara persoalan yang sering timbul adalah bagaimana untuk menselari dan mengimbangkan antara aktiviti dakwah yang berteraskan pengorbanan dan kesukarelaan dengan aktiviti niaga yang berteraskan keuntungan.

Sifat seorang pendakwah adalah ‘memberi’ manakala sifat peniaga adalah ‘mengambil’. Apa yang dimaksudkan di sini adalah dalam aktiviti dakwah lazimnya keutamaan itu adalah pemberian melebihi perolehan. Usaha dakwah dijalankan dengan pengorbanan tenaga, masa dan harta. Pengorbanan pula bermakna ‘yang diberi’ lebih dari ‘yang diperolehi’.
Sebaliknya sifat berniaga pada zahirnya adalah berlawanan dengan sifat dakwah kerana peniaga adalah golongan yang mengharapkan imbalan yang lebih dari modal yang dikeluarkan. Imbalan yang lebih itulah yang dinamakan keuntungan. Keuntungan dalam perniagaan tidak dapat tidak akan disandarkan kepadan nilaian matawang sedangkan keuntungan dalam dakwah adalah berteraskan neraca yang sangat berbeza. Oleh yang demikian, amatlah perlu kita memahami perbezaan asas antara aktiviti perniagaan dan aktiviti dakwah.

Barangkali ada ramai yang melihat kedua-duanya tidak bertentangan lantaran banyak contoh yang menunjukkan kedua-duanya dapat dilaksanakan secara selari dan baik oleh peniaga-peniaga yang juga menjadi pendakwah. Namun begitu kita perlu memahami bahawa kepentingan dakwah dan kepentingan niaga dapat diselarikan disebabkan mereka yang terlibat adalah mereka yang memahami dengan jelas ciri-ciri niaga dan ciri-ciri dakwah. Pada masa yang sama kebiasaannya para pendakwah yang melibatkan diri dalam perniagaan adalah menjalankan usaha niaga secara persendirian dengan memegang sepenuh kawalan terhadap perniagaannya.

Sebaliknya apabila suatu aktiviti niaga itu dipelopori oleh sebuah pertubuhan , situasinya amat berbeza. Sifat sesebuah pertubuhan yang anggotanya terdiri dari berbagai latarbelakang menjadikannya bersifat kompleks. Keadaan menjadi lebih rumit apabila kaedah membuat keputusan yang dilaksanakan dalam pertubuhan itu cuba diaplikasikan dalam usahaniaga yang dijalankan.

Apabila sesebuah pertubuhan terlibat dalam usaha niaga ia perlu dijalankan dengan sistem korporat yang teratur kerana perniagaan tersebut dijalankan oleh ramai individu dan membawa kepentingan ramai. Kegagalan meletakkan asas pengurusan yang baik diperingkat awal akan menyebabkan permasalahan yang menyebabkan kerugian yang besar di pada masa hadapan.

Satu kesilapan yang sering dilakukan adalah pengabaian kepada sistem pengurusan yang sempurna mengakibatkan kecelaruan dalam pentadbiran perniagaan. Ini mungkin disebabkan kecenderungan para penggerak dalam pertubuhan dakwah untuk mendasari muamalah mereka dengan rasa saling percaya mempercayai. Ketelitian sebagaimana yang diamalkan oleh syarikat-syarikat korporat biasa mungkin dilihat menggambarkan sifat kurang percaya kepada sesama anggota pertubuhan tersebut.

Kegagalan beberapa buah koperasi dan syarikat yang didokong oleh gerakan Islam sewajarnya menjadi pengajaran berguna apabila sesebuah pertubuhan Islam mahu menceburi dunia perniagaan. Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu ada sebuah pertubuhan yang menceburi bidang perniagaan burung unta yang akhirnya kerugian berjuta ringgit. Pada satu kes yang lain, sebuah pertubuhan Islam yang menjalankan aktiviti niaga dengan menjual kelengkapan runcit juga mengalami kerugian yang besar . Amat menyedihkan kerana sumber modal yang dilaburkan adalah sumbangan anggota yang ikhlas membantu, tetapi kerana kesilapan pengurusan ia hilang begitu sahaja. Tambah menyedihkan kegagalan-kegagalan tersebut menjadi ‘peluru’ kepada pihak yang kurang senang dengan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk memperlekehkan Islam.

Kegagalan sesebuah perniagaan itu boleh datang dari pelbagai punca. Punca-punca tersebut boleh bersifat dalaman dan luaran. Punca-punca itu juga boleh bersifat kemanusiaan ataupun kebendaan.Punca dalaman yang utama adalah manusia itu sendiri. Manusia datang dengan sikap dan personaliti yang berbeza. Sikap dan personaliti itu pula dibentuk oleh ilmu dan pengalamannya. Punca luaran pula datang dalam bentuk persaingan, pasaran dan keseluruhan persekitaran luaran yang lain.

Di sini saya ingin mengajukan beberapa masalah yang berkaitan dengan pengurusan dan pekerja. Dari aspek pengurusan kegagalan niaga boleh berlaku apabila berlaku kegagalan dari aspek ilmu atau kemahiran, perancangan dan sikap. Manakala dari sudut pekerja pula isu-isu yang terlibat mungkin dari sudut ilmu atau kemahiran, sikap dan tekanan. Tekanan itu pula boleh jadi merupakan tekanan kerja mahupun tekanan kewangan.

Ilmu

Ilmu adalah teras kepada kejayaan sesuatu usaha. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu yang berkaitan dengan menjalankan perniagaan. Kegagalan meletakkan orang yang memahami sesuatu isu dari konteks perniagaan akan mendedahkan perniagaan dengan risiko kegagalan. Kajian-kajian saintifik telah membuktikan kejayaan syarikat-syarikat utama di dunia adalah hasil meletakkan orang-orang yang berilmu dalam perniagaan.

Sebagai contoh, Microsoft yang merupakan syarikat perisian terbesar dunia walaupun diasaskan oleh ‘dropout’ Harvard iaitu Bill Gates hanya memilih mereka yang mendapat ijazah ‘1st class’ untuk menjadi kakitangannya. Setelah menyertai Microsoft mereka akan diberikan latihan yang berkaitan dengan tugas yang digalas. Mereka yang terlibat dalam pengurusan akan diberi latihan atau ilmu dalam pengurusan. Keseriusan Microsoft dalam mendapatkan mereka yang benar-benar berkebolehan telah meletakkan Microsoft sebagai kuasa ekonomi dunia sehingga hampir tidak ada siapa yang tidak disentuh hidupnya oleh syarikat ini.

Pertubuhan Islam lazimnya digerakkan oleh mereka didorong oleh suatu idealisme tertentu yang boleh mendatangkan masalah dalam perniagaan. Masalah-masalah timbul apabila individu-individu yang didorong oleh idealisme tidak dapat mengubahsuai pendekatannya berdasarkan realiti perniagaan yang dihadapi. Mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sesebuah pertubuhan tidak semestinya sesuai atau layak untuk mengetuai atau mengendalikan suatu usaha niaga. Ini kerana kemahiran dan ilmu yang diperlukan dalam perniagaan tidak sama dengan ilmu yang diperlukan dalam sesebuah pertubuhan atau gerakan.

Ini tidak bermakna untuk berjaya idealisme dakwah perlu dikorbankan. Apa yang dikehendaki ialah kebolehan untuk mengimbang antara idealisme dan teori dengan realiti di lapangan. Persoalan yang menuntut penegasan seperti dasar dan wawasan perlu dipandu oleh idealisme yang berteraskan asas perjuangan pertubuhan dakwah tersebut. Persoalan yang seperti halal,haram, riba’, gharar, syubhah, rasuah dan lain-lain perlu diputuskan sesuai dengan aspirasi gerakan tersebut walaupun realitinya akan menyukarkan usahaniaga pertubuhan dakwah.

Permasalahan lebih besar timbul apabila keputusan niaga dikaitkan dengan wala’ dan ketaatan kepada pimpinan. Adakalanya perbezaan dengan pandangan pimpinan dianggap sebagai ketidakpatuhan kepada pertubuhan. Sedangkan pada masa yang sama ada pimpinan yang terlibat dalam usaha niaga tersebut mempunyai kefahaman yang cetek tentang realiti perniagaan. Akibatnya, pekerja yang mempunyai latarbelakang profesional mungkin merasakan pengetahuan dan pengalamannya diperlekehkan. Sebab itulah sebahagian syarikat korporat yang ingin mengaplikasi nilai Islam pada masa ini menubuhkan suatu jawatankuasa lain yang bertindak sebagai penasihat dan pemantau tanpa mencampuri urusan operasi atau eksekutif perniagaan.

Secara umum syarikat-syarikat tersebut mempunyai sekurang-kurangnya tiga jawatankuasa yang mempunyai bidang kuasa yang jelas dan tidak bertindih iaitu lembaga pengarah, majlis penasihat syariah dan jawatankuasa pengurusan. Apa perlu ditekankan di sini bukan bilangan jawatankuasa yang penting tetapi sistem yang teratur serta autoriti dan autonomi yang jelas. Model yang boleh diambil oleh gerakan dakwah yang menceburi bidang perniagaan adalah seperti yang diamalkan oleh syarikat-syarikat kewangan Islam yang mempunyai majlis penasihat syariah masing-masing.

Pertindihan kuasa dan kekurangan ilmu perniagaan seperti dalam aspek pengurusan strategik, pengurusan sumber manusia, kewangan dan pemasaran boleh menyebabkan keputusan-keputusan yang dibuat tidak tepat dan mendedahkan perniagaan kepada bahaya. Menjadi suatu ‘irony’ jika keputusan yang diambil boleh mengancam perniagaan sedangkan ia berlawanan dengan ‘maqasid syariah’ yang diperjuangkan oleh pertubuhan Islam itu sendiri.

Perancangan

Aspek perancangan pula lebih merujuk kepada aspek pengurusan strategik. Ia sangat penting untuk memastikan kejayaan sesuatu perniagaan terutama apabila melibatkan perniagaan yang bersaiz sederhana atau besar. Namun begitu, ada yang hanya pandai menyebut pengurusan strategik tanpa memahami maksudnya yang sebenar.

Pengurusan strategik yang merangkumi perancangan, model niaga, aspek taktikal niaga dan sebagainya perlu dipelajari secara berdisiplin terutama oleh mereka yang memegang mas’uliah dalam perniagaan walaupun pada hakikatnya ia perlu dipelajari oleh semua penggerak dakwah. Kekurangan dalam aspek ini akan menyebabkan kecenderungan untuk membuat keputusan berdasarkan andaian dan persepsi yang mungkin bersifat ‘bias’ dan boleh memudharatkan perniagaan.

Ilmu dan perancangan mempunyai kaitan yang sangat rapat. Kekurangan ilmu boleh mengakibatkan kesilapan dalam perancangan. Mereka yang tidak memahami perbezaan jenis-jenis perniagaan mungkin akan melakukan strategi yang sama bagi perniagaan yang berbeza. Sebagai contoh perniagaan perkhidmatan mungkin dijalankan sama dengan perniagaan barang. Akibatnya perniagaan hotel menggunakan strategi yang sesuai untuk menjual burger. Strategi niaga burger yang tidak perlu kepada keselesaan pelanggan digunapakai dalam perniagaan hotel yang akhirnya boleh memusnahkan perniagaan.

Semoga semua usaha yang sedang dilaksanakan oleh semua gerakan dakwah akan mendapat bantuan dari Allah.

Belajar Dakwah Di Kedai Makan 3

Petang itu terasa nyaman sekali. Hembusan bayu menyapa lembut tubuh yang kehangatan. Arif yang kepenatan dengan kerja-kerja di kebun bersandar berehat di beranda rumah. Fikiran Arif kembali pada kata-kata ayahnya tentang belajar dakwah di kedai makan. Semenjak perbualan tempohari, ayahnya tidak lagi bercerita tentang hal itu. Kesihatan ayahnya agak kurang baik akhir-akhir ini. Sudah hampir sebulan ayahnya tidak sihat. ‘Tak mengapalah, nanti pandai-pandailah kamu cuba faham tentang dakwah dan kedai makan’, Arif bercakap kepada dirinya sendiri di dalam hati.

‘Abah minta maaf sebab tak dapat nak bercerita lagi dengan Arif selepas kita keluar dahulu’, ayah berkata kepada Arif. ‘Takpelah abah, abah pun sakit, nanti Arif akan fikirkan lagi semua yang abah sampaikan tempohari’, Arif membalas kata-kata ayahnya.

Bas bergerak meninggalkan hentian. Semakin lama semakin hilang kampung halaman dari pandangan. Sayu perasaan Arif meninggalkan ayah yang sakit. Namun, Arif tahu dia perlu kembali ke kampus bagi menyambung perjuangan mempersiapkan diri dan menuntut ilmu.

*****

‘Ala, pagi ni kuliah Marketing la, Dr Fikri ngajar mesti suka khutbah’, komen Sabri teman rapat Arif di kampus. Arif memang tahu benar gaya kuliah Dr Fikri yang suka menyelitkan pesanan-pesanan selain mengajar apa yang ada di dalam silibus. Arif berpandangan bagus juga ada pesanan dan selingan dalam kuliah, paling tidak ia mengurangkan rasa jemu.

Namun kuliah hari itu menyentak jiwa Arif. ‘Mereka yang terlibat dalam dakwah perlu menguasai ilmu Marketing kerana mereka yang berdakwah pada hakikatnya sedang ‘marketing’ Islam. Saya tahu ada di antara kamu yang terlibat dengan aktiviti dakwah, sepatutnya kamu dapat mengaitkan antara marketing dan dakwah’. Malang kalau kamu tidak dapat mengaitkan Marketing atau ilmu-ilmu pengurusan lain dengan dakwah’.Tergiang-ngiang kata-kata Dr Fikri di kuliah tadi.

Malam itu sukar untuk Arif melelapkan mata. Kata-kata Dr Fikri silih berganti dengan kata-kata ayahnya. Belajar dakwah di kedai makan, Marketing dan dakwah bermain-main difikiran. Namun, lama-kelamaan Arif tertidur juga.

Pagi itu Arif bercadang untuk berjumpa Dr Fikri. ‘Hari ni aku nak jumpa Dr Fikri, nak join?’ Tanya Arif kepada Sabri. ‘Tengokla nanti, nak jumpa sebab apa?’ balas Sabri. ‘Kemarin bila dia cakap pasal Marketing dan dakwah tu, aku terasa macam dia tuju kat aku’. ‘Engkau tak terasa ke?’ Tanya Arif kepada Sabri. ‘Terasa juga, tapi Dr Fikri memang suka cakap macam tu’, jawab Sabri. ‘Takpe, nanti kita jumpa dia tanya’, sambung Sabri lagi.

Hari itu ada empat kuliah yang perlu dihadiri Arif. Sebagai pelajar bidang Muamalat Arif dikehendaki mengambil subjek-subjek yang pelbagai. Ada subjek-subjek pengkhususan fiqh dan Usul dan ada juga subjek-subjek pengurusan dan kewangan kontemporari. Setelah selesai semua kuliah tersebut barulah Arif dapat berjumpa dengan Dr Fikri. Arif berharap moga-moga Dr Fikri tidak kemana-mana, maklumlah para pensyarah selalu sibuk dengan kuliah dan tugasan-tugasan lain.

Assalamualaikum’, ucap Arif sambil tangannya mengetuk pintu bilik Dr Fikri yang tertutup. ‘Waalaikumussalam, masuk’, terdengar jawapan dari dalam bilik. Arif dan Sabri masuk dan dipelawa duduk oleh Dr Fikri. ‘Arif, Sabri, apa yang saya boleh bantu?’ Tanya Dr Fikri.

‘Err, kami nak tanya tentang kaitan antara dakwah dan Marketing seperti yang encik sebut kemarin’, Arif menjawab. ‘Ohh, yang itu’, balas Dr Fikri. ‘Sebenarnya bukan Marketing sahaja, bahkan subjek-subjek lain pun boleh dikaitkan dengan dakwah seperti Organizational Behaviour dan Strategic Management’, terang Dr Fikri lagi. ‘Yang penting kebolehan dan kesediaan kita untuk berfikir, bukan sekadar hadir kuliah untuk menghafal fakta yang akhirnya menjadikan kita setaraf dengan hard disk dalam laptop’, sambung Dr Fikri.

‘Saya datang jumpa encik ni bukan sahaja sebab kuliah encik, tapi juga sebab ayah saya ada sebut tentang kita boleh belajar dakwah di kedai makan, maksudnya denga memperhatikan kedai makan atau restoran contohnya KFC dan lain-lain’, Arif berkata. ‘Ohh, begitu, kamu Sabri macamana pula?’ balas Dr Fikri. ‘Saya ikut Arif je, tapi saya juga nak tahu apa kaitan subjek-subjek kita dengan dakwah’, jawab Sabri.

‘Belajar dakwah di restoran KFC, menarik tu. Kita boleh jadikan restoran KFC sebagai perumpamaan kita. Cuma sebelum tu saya nak kamu faham bahawa bidang dakwah ni luas, sebab itulah ada ijazah Dakwah di fakulti kita ni, apa yang kita bincangkan hanyalah pecahan kecil dari ilmu-ilmu dakwah’, jelas Dr Fikri.

‘Saya nak tahu setakat ini apa rujukan-rujukan kamu?’ Tanya Dr Fikri. ‘Buku-buku dakwah seperti karangan Hasan Al Banna, Mustafa Masyhur, Said Hawwa, Fathi Yakan, Abbas As Sissi dan lain-lain lagi’, jawab Arif. Sabri mengangguk-angguk di sebelah. ‘Bagus tu, semua bacaan-bacaan itu akan mengukuhkan idealisme kamu tentang fikrah dakwah. Apa yang saya sebut dalam kuliah lebih kepada pengaplikasian idealisme itu dalam realiti manusia yang bersifat dinamik atau berubah-ubah’, jelas Dr Fikri. ‘Err, maaf Dr, saya rasa bahasa encik agak tinggi, lambat sikit saya nak faham’, komen Sabri. ‘Oh ye ke, maaflah, agaknya terbiasa dengan kuliah akademik, cakap pun dah jadi terlebih akademik, saya akan cuba terangkan secara lebih mudah, kalau agak terlalu akademik tegur saya’, jawab Dr Fikri.

‘Sesetengah istilah yang digunakan dalam subjek-subjek pengurusan kita boleh guna juga dalam perbincangan dakwah, contohnya perkataan waqi’ membawa erti yang hampir sama dengan faktor-faktor persekitaran atau environment. Begitu juga dengan perkataan mad’u, dalam konteks Marketing kita sebut sebagai target market atau prospective customer. Jadi cuba perhatikan istilah-istilah dan konsep-konsep yang boleh dibandingkan’, sambung Dr Fikri. ‘Ok, sekarang mari kita bincang tentang dakwah dan KFC’, Dr Fikri berkata sambil tersenyum…

(bersambung)